Kenapa Kes Positif Covid-19 Mereka yang Sudah Divaksin Masih Tinggi? Benarkah Wujud Diskriminasi Terhadap Penolak Vaksin?
Medical photo created by freepik
Penulis tak pernah terfikir yang penulis perlu tulis artikel macam ni sepanjang pandemik ni. Kalau dilihat kesan Covid-19 terhadap dunia, bukan sahaja Malaysia; memang tak dapat dinafikan lagi ancaman Covid-19.
Namun, masih ada lagi segelintir orang yang menjaja kisah Covid-19 sebagai sebuah propaganda big pharma untuk mengaut keuntungan dari penjualan vaksin dan sebagainya.
Tetapi, andai katalah secara hipotetikalnya benar propaganda tadi sekalipun, baik pada sekala yang kecil atau besar; adakah ini bermaksud vaksin-vaksin yang kita terima itu tidak berkesan?
Di laman sosial, ada segelintir yang menentang vaksin, mendakwa yang vaksin-vaksin kita ambil tidak berkesan hanya kerana mereka kenal ahli keluarga, dan sahabat mereka yang meninggal dunia selepas dos kedua vaksinasi.
Walaupun segelintir, anehnya suara mereka di media sosial sangat besar apabila difikirkan mereka hanya mewakili 10% daripada orang dewasa.
Mereka kata mereka didiskriminasi, mereka tanya kenapa orang yang vaksin perlu takut pada mereka yang belum. Mereka kata lagi, orang yang dah divaksin pun boleh mati, boleh dijangkiti.
Malah, mereka mendakwa, orang yang divaksin lebih besar kemungkinan untuk sakit ataupun mati, kerana mereka masih berisiko dijangkiti Covid-19, dan dalam masa yang sama perlu menanggung risiko kesan sampingan vaksinasi.
KEBERKESANAN VAKSIN TERBUKTI
Dijangkiti dan Menjangkiti
Pertama sekali, tidak ada seorang saintis atau doktor pun yang menyatakan bahawa mereka yang telah divaksin tidak boleh dijangkiti atau menjangkiti Covid-19. Malah yang ditekankan ialah mereka juga boleh menjadi pembawa kepada virus tersebut walaupun tanpa gejala.
Yang dinyatakan ialah peluang untuk mereka dijangkiti adalah lebih rendah, dan sekiranya dijangkiti, peluang untuk mengalami gejala yang teruk juga adalah lebih rendah.
Persoalannya sekarang, kenapa kes positif Covid-19 bagi orang yang sudah divaksin masih tinggi? Dan kenapa kes positif Covid-19 bagi orang yang belum divaksin juga semakin rendah?
Semakin Ramai Divaksin
Tidak ada apa yang peliknya apabila lebih ramai yang telah divaksin, lebih ramai orang yang dijangkiti Covid-19 datang daripada golongan yang sudah divaksin.
Bayangkan sebuah rumah yang dihuni 10 orang, 8 daripadanya telah divaksin, dan 2 daripada belum. Sudah tentulah paling ramai pun cuma dua orang yang belum divaksin sahaja boleh dijangkiti Covid-19.
Tetapi, kita mungkin akan ada 2 atau 3 orang yang telah divaksin dan dijangkiti Covid-19. Lebih ramai berbanding mereka yang belum divaksin. Jadi, maksudnya vaksin tidak berkesan lah kan?
Vaksin Masih Berkesan
Salah! Walaupun hanya seorang yang tidak divaksin dijangkiti Covid-19, itu sudah mewakili 50% daripada mereka yang tidak divaksin. Tetapi 3 orang yang telah divaksin dan dijangkiti tadi, hanya mewakili 37.5% daripada mereka yang telah divaksin.
Perbezaan tadi akan jadi lebih ketara apabila kita cuba lihat situasi sebenar. Jom kita tengok data daripada KKM untuk 20 Oktober 2021:
Status | Bilangan Kes Positif |
---|---|
Belum divaksin | 1,880 |
Belum Lengkap Vaksinasi | 525 |
Lengkap Vaksinasi | 4,146 |
Mesti ada yang fikir, "ramainya yang dah vaksin kena Covid, lagi ramai daripada yang tak vaksin". Sekarang kita tengok pula jumlah setiap golongan tadi pada tarikh yang sama:
Status | Jumlah (%) |
---|---|
Belum divaksin | 7,535,557 (23%) |
Belum Lengkap Vaksinasi | 2,019,951 (6.1%) |
Lengkap Vaksinasi | 23,265,448 (70.9) |
Jika dilihat kedua-dua jadual A dan B, kita akan dapati bahawa 250 daripada 1 juta orang yang tidak divaksin dijangkiti Covid-19, berbanding hanya 184 daripada 1 juta orang yang divaksin, sama ada lengkap atau tidak lengkap.
Kalau dilihat pula angka kematian pada 13 Oktober 2021, hanya 36 orang yang tiada sejarah vaksinasi meninggal dunia, berbanding 41 orang yang mempunyai sejarah vaksinasi. Betul, lebih ramai dengan sejarah vaksinasi meninggal dunia pada waktu ini.
Tetapi, daripada data pada waktu itu, kita akan dapati 5 daripada 1 juta orang yang tiada sejarah vaksinasi meninggal dunia, berbanding hanya 2 daripada 1 juta orang yang mempunyai sejarah vaksinasi.
Kiraan penulis bukanlah 100% tepat, kerana berlakunya kelewatan antara waktu seseorang dijangkiti, waktu seseorang tahu dia telah dijangkiti, dan waktu kematian disebabkan Covid-19.
Tetapi, jika dibandingkan kes jangkitan atau kematian, dengan status vaksinasi 1 atau 2 minggu sebelumnya pun, kita tetap akan dapat lihat keberkesanan vaksin Covid-19.
Immuniti Kelompok
Jadi kenapa kes positif bagi mereka tanpa sejarah vaksinasi juga semakin menurun? Jawapannya ada pada immuniti kelompok, keadaan yang negara kita ingin capai melalui pemberian vaksin.
Imuniti kelompok adalah satu keadaan di mana peratusan populasi atau komuniti yang mencapai imuniti ada pada tahap yang mencukupi untuk mengurangkan, jika tidak menghapuskan; jangkitan sesebuah virus atau penyakit.
Imuniti kelompok bukan sahaja melindungi mereka yang divaksin, malah mereka yang tidak divaksin juga. Ertinya, apabila negara menuju ke arah imuniti kelompok, bukan sahaja kes bagi mereka yang divaksin sahaja akan berkurang, kes bagi mereka yang tidak divaksin juga akan berkurang.
Dan sudah tentulah apabila makin ramai mula mengambil vaksin, jumlah mereka yang tidak divaksin semakin berkurang, satu lagi sebab kenapa kes positif mereka yang tidak divaksin semakin berkurangan.
Gelombang Baharu Covid-19 Tidak Mustahil
Walaupun selepas ini kes positif bagi mereka yang sudah divaksin meningkat, ini tidak bermakna vaksinasi tidak berkesan. Kesan vaksinasi berkurangan dengan masa, terutamanya selepas 6 bulan lengkap vaksinasi.
Tambah pula, tahap keberkesanan vaksin terhadap Covid-19 adalah berbeza mengikut varian. R0 bagi varian delta contohnya adalah antara 5 ke 9.5, lebih tinggi berbanding varian asal Covid 19.
Dalam sebuah kajian yang dilakukan di Israel, kajian menyatakan bahawa imuniti terhadap varian Delta adalah lebih tinggi pada mereka yang pernah dijangkiti Covid-19, berbanding mereka yang menerima vaksin dan belum pernah dijangkiti.
Kajian yang serupa masih belum dilakukan di negara-negara lain, jadi kita masih belum tahu sama ada negara lain juga mengalami trend yang sama.
Tetapi, ini tidak bermakna vaksin tidak berkesan. Kajian juga menyatakan mereka yang pernah dijangkiti, dan diberikan satu dos vaksin akan mendapat lebih perlindungan terhadap varian delta.
Untuk mencapai imuniti semula jadi, kita perlu dijangkiti dan selamat daripada risiko kematian. Jadi lebih baik divaksin dan dijangkiti, berbanding dijangkiti tanpa vaksin dan menghadapi risiko kematian yang lebih tinggi.
False Sense of Security
Walaupun di kalangan mereka yang divaksin, ada yang fikir mereka tidak akan dijangkiti virus Covid-19 selepas divaksin. Jadi ada yang mula memandang ringan SOP dengan tidak menjaga jarak, atau berkumpul secara beramai-ramai.
Dengan tidak menjaga SOP, risiko dijangkiti dan menjangkiti Covid-19 adalah lebih tinggi, walaupun masih rendah berbanding mereka yang tidak divaksin.
Kurang Kekangan
Mereka yang divaksin boleh makan di kedai, boleh ke pasaraya, boleh ke pasar malam, dan banyak lagi tempat yang ramai dan sesak. Jadi, risiko dijangkiti dan menjangkiti Covid-19 adalah lebih tinggi.
Bagaimana pula keadaannya kalau kebebasan yang sama diberikan kepada mereka yang belum divaksin?
BUKAN DISKRIMINASI TETAPI KEPENTINGAN AWAM
Wujudkah Diskriminasi?
Diskriminasi wujud apabila perbezaan layanan antara mereka yang belum dan sudah divaksin tidak berasas. Bagi penulis, apa yang dilakukan sekarang adalah berasas, jadi tidak wujud diskriminasi.
Peraturan yang ada sekarang adalah untuk melindungi golongan yang belum atau tidak boleh divaksin, lebih berbanding mereka yang telah divaksin. Walaupun 90% dewasa sudah divaksin, hanya 71.2% sudah divaksin secara keseluruhannya.
Dikalangan mereka yang sudah divaksin, ada anak-anak yang belum divaksin, dan ahli keluarga yang tidak boleh divaksin.
Jadi kita perlu lakukan apa sahaja yang mampu untuk mengurangkan, walaupun tidak sehingga menghapuskan; risiko jangkitan Covid-19. Dalam masa yang sama, ada yang perlu mencari rezeki, ada yang perlu belajar, mengimbangi kesemua ini bukan perkara yang mudah.
Mereka yang tidak mengambil vaksin beralasan mereka sedia menerima risiko dijangkiti Covid-19, berbanding risiko kesan sampingan vaksinasi. Tetapi mereka lupa, kekangan terhadap mereka juga satu risiko dan akibat yang mereka perlu terima.
Tegas Bukan Berkeras
Kita perlu tegas dengan peraturan yang ada, tetapi tidaklah sehingga berkeras. Mereka yang tidak divaksin juga manusia seperti kita, dan kebanyakannya tidak mengambil vaksin kerana tidak sepenuhnya memahami sains dan fakta disebaliknya.
Penulis percaya kekangan yang diletakkan kepada mereka yang belum divaksin hanyalah sementara. Tunggu apabila sekolah dibuka semula sepenuhnya. Bilangan kes pada waktu itu mungkin akan memberi kesan terhadap peraturan sedia ada.
Tikus Makmal vs Free-Rider
Ada yang memanggil penyokong vaksin sebagai tikus makmal. Tetapi, antara tikus makmal yang membawa kebaikan kepada masyarakat, dan free-rider yang mengambil manfaat daripada pengorbanan tikus makmal tadi secara percuma, mana lebih baik?
Jadi kalau masih ada yang nak mempertikaikan keberkesanan vaksin menggunakan hujah-hujah separuh masak, atau panggil penerima vaksin sebagai tikus makmal, elok hentikanlah.
Boleh pergi ke laman sesawang https://covidnow.moh.gov.my/ untuk data-data terkini berkaitan Covid-19.
Post a Comment