Mee Rebus Orang Tua-Tua: Mi Rebus Utara Bersama Cucur di Pekan Penaga, Pulau Pinang

Mee rebus utara
Dah hidup berpuluh tahun, tapi sampai sekarang penulis masih keliru antara mi kuah, mi rebus, mi jawa dan mi bandung. Daripada luaran, walaupun ada sedikit perbezaan pada bahan; nampak hampir sama je keempat-empat makanan ni.

Kalau ikutkan Wikipedia, mi kuah, mi rebus dan mi jawa ni adik beradik — makanan yang sama dengan nama atau cara penyediaan yang berbeza mengikut tempat. Kiranya, yang berbeza sekarang cumalah mi rebus dan mi bandung.

Itupun, ada juga beberapa kali beli mi rebus tapi rasa kuahnya macam mi bandung. Cara penulis bezakan antara dua mi tadi, bahan pada mi rebus selalunya diasingkan daripada kuah dan rasa udang keringnya — kalau ada — halus atau cuma sedikit.

WARUNG MEE REBUS ORANG TUA-TUA, PENAGA

Warung Mee Rebus Orang Tua-Tua
Nak tahu macam mana rasa mi rebus — atau salah satu jenis mi rebus — boleh datang ke utara. Contohnya di Penaga, Pulau Pinang penulis pernah singgah di sebuah warung menjual mi rebus bernama Mee Rebus Orang Tua-Tua.

Daripada nama yang digunakan, penulis anggap mi rebus di sini masih mengekalkan resepi asal orang dulu-dulu sama macam waktu zaman nenek kita muda dulu — resepi yang menjadikan mi rebus kekal sampai sekarang.


Alamat: Jalan Haji Hashim, 13100 Penaga, Pulau Pinang.
Waktu: Rabu - Isnin (3pm - 7pm).

Kalau pernah ke Penaga dalam satu ke dua tahun yang lepas, besar kemungkinan korang pernah nampak tapi tak pernah terfikir nak singgah di warung Mee Rebus Orang Tua-Tua ni.

Penulis sendiri pun sebenarnya dah banyak kali lalu di kawasan yang sama, tapi baru sekali je berkesempatan singgah. Warungnya terletak berhampiran dengan simpang tiga — 250 meter dari Masjid Dato' Sheikh Adnan — yang penulis percaya lebih 90% daripada orang yang datang ke pekan Penaga akan lalu.

Mi rebus utara bersama cucur
Apa yang dihidang kepada kita, macam tu la rupa mi rebus. Mi kuning berkuah sedikit likat yang tak terlalu gelap warnanya, dan dihidang bersama bahan-bahan seperti kentang, cucur, daging dan telur rebus.

Rasa kuahnya tak pedas, selagi tak tergigit cili padi. Untuk rasa yang lebih manis selalunya kuah mi rebus akan dicampurkan dengan sos cili atau kicap manis sebelum dimakan — di sini sos dah diletakkan sekali di atas telur rebus.

MENGGUNAKAN PARU DAN ASAM GELUGUR

Sepinggan mi rebus dengan telur, daging, kentang dan cucur
Cuma ada dua bahan yang penulis jarang makan dengan mi rebus sebelum ni, paru dan asam gelugur. Selalunya asam gelugur atau asam keping digunakan pada laksa, dalam resepi mi rebus yang dikongsikan Che Nom dan majalah RASA pun tak ada asam keping.

Daging, paru dan cucur yang digunakan lembut, memang orang tua pun sepatutnya — selagi bergigi — boleh makan. Walaupun tak ada wow factor, penyediaannya yang ringkas tak bermakna rasanya tak sedap.

Dah cukup sedap untuk sebuah mi rebus, bahannya pun cukup cuma tak ada tauhu dan limau. Inilah mi rebus yang penulis kenal, yang penulis biasa makan di rumah tokcik penulis pada hari raya pertama setiap tahun.

MI REBUS ADA CUCUR?

Kerusi dan meja makan yang disediakan di warung
Kebanyakan gambar dan resepi mi rebus yang ada pada carian Google tak menggunakan cucur, jadi kalau nak makan mi rebus yang ada cucur salah satu tempatnya ialah di warung Mee Rebus Orang Tua-Tua — satu lagi di Pasar Minggu Changkat Jering.

Jadi kalau korang dah biasa makan mi rebus yang likat dengan rasa udang geragau yang lebih kuat — dan terkadang lebih masam disebabkan oleh tomato — macam di Johor, apa kata cuba pula mi rebus yang lebih ringan macam di Pulau Pinang ni.

Secawan air limau suam
Tak ingat dah berapa harga sepinggan mi rebus, tapi penulis boleh jamin harganya berbaloi dan jauh lebih murah berbanding harga Cik Aini's Mee Rebus di restoran Chef Wan — kalau ada rezeki akan cuba juga mi rebus chef Wan nanti.

Selain mi rebus, ada juga makanan lain seperti pasembur, murtabak, laksa dan bihun yang dimakan bersama kuah laksa. Kalau belum pernah cuba bihun goreng dengan kuah laksa, kena cuba — barang rare.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top