Tentang Raya, Kampung dan Sungai Bahagian 3

DSC_1693
Sebelum tibanya hari penulis pulang ke Selangor, adalah baiknya untuk penulis mengisi masa-masa penulis di kampung sebaik-baiknya. Sebenarnya bukan penulis yang rancang aktiviti-aktiviti yang penulis lakukan di kampung pada raya tahun ini, penulis cuma ikutkan sahaja apa cadangan yang ada, yang penting penulis tidak kebosanan di kampung.

Ada satu malam penulis keluar bersama dengan adik dan sepupu penulis ke Mydin. Penulis tak berapa pasti nama tempatnya apa (edit: Mydin Mall Seberang Prai, Bukit Mertajam) sebab penulis memang tak hafal sangat geografi Pulau Pinang ni walaupun kampung penulis. Queensbay Mall pun penulis belum pernah pergi. Tetapi Mydin yang penulis pergi ni boleh dikatakan antara Mydin yang terbesar di Malaysia, pada pengalaman penulis belum pernah lagi nampak Mydin yang lebih besar daripada Mydin di Pulau Pinang ni.

Kepada pencinta Sushi macam penulis, dalam Mydin ni ada Empire Sushi. Bagi siapa-siapa yang nak makan Marrybrown, penulis tahu agak susah nak cari cawangan Marrybrown, bolehlah melawat Mydin ni. A&W pun ada. Kisahnya pada malam tu adik dan sepupu penulis bermian bowling di Ole Ole Super Bowl Mydin, tetapi penulis pilih untuk makan di A&W. Tak berapa minat nak main bowling, menyakitkan jari, dahlah selalu masuk longkang.

Bowling memang penulis tak berapa minat nak pergi, tetapi kalau cerita tentang mandi sungai ke air terjun ke, yang tu penulis suka. Kalau cerita tentang sungai berdekatan Pulau Pinang ni, antara yang penulis tahu menjadi tumpuan ialah Ulu Paip dan Bukit Hijau.

Perjalanan ke Ulu Paip daripada kampung penulis mengambil masa lebih kurang 40 minit, tu ambil kira naik kancil makcik penulis. Kalau bawak Honda City ke Proton Inspira ke mungkin ambil masa kurang 30 minit daripada Penanti.

Gerai di ulu paip
Pada hari penulis pergi ke Ulu Paip, cuaca agak mendung daripada siang sehingga senja. Walaupun penulis tiba di Ulu Paip pada waktu tengah hari, rasa seperti baru 8 pagi. Penulis cukup lapar apabila tiba di Ulu Paip sebab penulis tidak bersarapan pada waktu pagi, jadi perkara pertama yang penulis cari mestilah makanan. Mujur ada satu gerai yang dibuka berdekatan dengan parkir kereta.

Jagung Bakar di Ulu Paip
Sebelum ke pondok tempat diletakkan semua barang-barang dan makanan yang dibawa daripada kampung, penulis sempat membeli setongkol jagung bakar. Manis, masin dan berlemak. Gerai tersebut ada juga jual makanan lain seperti sosej, bebola ikan dan burger. Burger dia pun sedap juga, boleh cuba burger daging special RM3.

Jagung Bakar Ulu Paip
Agak-agak kenyang ke kalau makan jagung je? Mana mungkin. Lepas makan jagung barulah makan nasi dan lauk yang dibawa daripada kampung.

Sungai Ulu Paip
Setelah beberapa hari berhadapan dengan cuaca yang agak panas, akhirnya dapat juga menikmati suasana yang dingin dan langit yang redup, tambah pula dengan air sungai yang sejuk, memang terbaik. Mungkin kena tunggu satu tahun lagi sebelum dapat mandi di Ulu Paip ni semula. Tak apa lah, nanti penulis cari sungai berdekatan Kuantan.

Mandi di sungai Ulu Paip
Itulah aktiviti terkahir penulis sebelum pulang ke Selangor. Bagi penulis, tidak ada yang lebih baik daripada meluangkan masa bersama keluarga, walaupun kita ada tanggungjawab lain yang tidak dapat dielakkan atau diketepikan. Bolehlah kongsikan aktviti hari raya pembaca yang lain di ruang komen, boleh kita sama-sama masukkan dalam perancangan raya tahun hadapan.

Post a Comment

To Top